Friday, May 19, 2006

Hari untuk Bersedih.

Kita ada hari raya. Kita ada hari kemerdekaan. Kita ada hari jadi. Kita ada segala sesuatu hari dan waktu untuk bergembira dan ketawa.

Tapi kenapa kita tiada hari untuk berduka?

Kata awak pada saya: Kerana bersedih itu tidak elok (lazimnya awak akan tersenyum sekali)

Kata saya pada awak: Rasanya sebab kita sedih hari-hari. (seperti biasa ia dipakejkan dengan senyum sinis)


-----

Kita dilarang bersedih. Bersedih itu celaka. Bersedih itu bala. Bersedih itu jahat.

Kita disuruh bergembira. Bukan saja setiap hari, malah setiap detik, setiap saat. Jika sedih sekalipun, buat-buatlah gembira. Tahan dalam hati.

Jangan menangis, kalau awak menangis, awak lemah. Kalau lelaki,
itu campur pondan dan mak nyah sekali. Bila awak tak menangis, awak ini kuat, tabah dan cekal hati.

Seperti biasa, betulkah?

-------
Sedih itu tidak salah. Mana mungkin sedih itu salah kerana sedih itu satu sifat wajib dalam diri manusia. Kita kena bersedih.

Apabila berlaku kemalangan, kita bersedih. Apabila berlaku sesuatu yang tak baik, kita bersedih.

Kata sesetengah orang, sedih itu satu pilihan. Kita boleh pilih samada hendak bersedih atau bergembira. Bila kereta langgar kita, kita boleh pilih nak meraung atau diam saja.

Ini soal pilihan.

Bagi saya, sedih itu fitrah. Bila berlaku sesuatu yang patut kita sedih, kita akan sedih. Kita tak mampu untuk tidak sedih. Kita tak mampu rasa gembira.

Yang boleh dipilih itu perihal luaran kita. Fizikalnya nampak macam mana. Nak nampak sedih atau nak nampak gembira. Memang bila kita sudah berlagak gembira, lama-lama kita akan jadi gembira juga.

Cuma asalnya memang kita sedih. Dan sedih itu bukan dosa.

Yang salahnya adalah bersedih sampai berhari-hari. Berminggu-minggu. Inipun bagi saya kerana kita tabik sangat sifat menyimpan perasaan dan suka benar berpura-pura.

Ini cadangan saya. Ia cuma cadangan, jadi jangan pula nak menyalahkan saya atas kesannya. Pilihan di tangan awak.

Berikan diri kita satu Hari Bersedih. Kalau perlu ambil cuti, ambil. Lagi jauh, lagi baik. Lagi tenang, lagi baik. Lagi kurang orang, lagi baik. (biasanya bila timbal-timbal semua termasuk kos, bilik sendiri adalah pilihan ideal).

Sedihlah puas-puas hari itu. Lepaskan dengan apa saja medium (amaran: jangan rosakkan harta benda orang. Kita tak mahu ada dua orang merayakan Hari Bersedih pada tarikh yang sama. Sungguh tak istimewa). Menangislah sampai bengkak mata. Renunglah, tenunglah. Cuma batas jangan pula dilampaui.

Tak salah jika ingin bersedih. Sedihlah pada satu hari yang kita rasa patut bersedih. Lepas itu jangan lagi bersedih atas hal yang sama. Ingat boleh, sedih jangan. Cukuplah kita mendedikasikan satu hari untuk bersedih. Nyawa kita terlalu pendek untuk hanya bersedih saja.

Cuma saya rasa alangkah tidak patut jika ada sesiapa mahu mewujudkan hari bersedih kerana kuku patah atau kerana Arsenal kalah. Dunia ini masih terlalu banyak benda untuk disedihkan. Ya,kan?

;)

Friday, May 05, 2006

Menghilir Di Sungai Pahang

Saya baru dua hari pulang dari Pahang. Berakit 5 hari, 4 malam. Perjalanannya dari Temerloh sampai ke Pekan.

Tentu sahaja pengalamannya indah tak terkata :) Jadi bagaimana mungkin saya tulis di sini ;)

Apa pun, ada satu lagu rakyat nyanyian Roslan Madun yang amat menarik hati saya. Jemput dengar,ya. Kalau saudara orang Pahang, lagilah bagus. Boleh tahu asal usul negeri saudara :)


Menghilir di Sungai Pahang

http://strm1.heritage.gov.my/audio/lagu_rakyat/Track01.wma